:: T E M P U A ::

Anwar Ibrahim

July 10, 2008 · 2 Comments

Sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu beliau hampir saja mewarisi kerusi Perdana Menteri. Dr Mahathir sudah pun mengisytiharkan suami Dr Wan Azizah itu sebagai bakal penggantinya. Dan jika keadaan berbeza dari apa yang telah menjadi sejarah, besar kemungkinan Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang kelima menjelang akhir 1998.

Malangnya tatkala jawatan sudah begitu hampir di tangan, tabiat luar tabie beliau tiba-tiba meletup. Seluruh negara gempar. Akibatnya, di sebalik berpindah ke Seri Perdana, beliau ke Sg Buloh.

10 tahun kemudian, beliau sekali lagi berpeluang untuk menjadi PM. Peluang kali ini datang dari permainan politik silap mata Paklah dan menantunya. Menurut perkiraan Anwar sendiri, beliau akan menjadi PM dalam bulan September. Malangnya, sekali lagi tabiat luar tabie beliau meletup dan mengikut firasat saya, seperti episod 10 tahun dulu, Anwar akan sekali lagi kempunan untuk membawa keluarganya berpindah ke Seri Perdana.

Anwar Ibrahim tidak ada orang lain yang harus dipersalahkan. Beliau telah mendapat peluang dua kali untuk menjadi PM. Orang lain jangankan dua kali, satu persejuta kali peluang pun tak pernah dapat. Tapi Anwar berjaya mendapat peluang dua kali. Dua kali dia berada dalam begitu hampir dengan jawatan eksekutif tertinggi negara itu dan kedua-duanya berkecai akibat tabiat “luarbiasa”nya sendiri.

→ 2 CommentsCategories: Politik

Negara sarkas

July 4, 2008 · 5 Comments

Malaysia hari ini nampak serabut betul. Ke mana sebenarnya arah tuju negara kita? Kerajaan langsung tidak ada fokus, tidak ada kesungguhan. Apa yang telah dirancang dan diatur oleh kepimpinan terdahulu bagi meneruskan momentum pembangunan serta kemakmuran rakyat dan negara selepas pertukaran tampuk kuasa dibatalkan, ditangguh atau diubahsuai. Kerajaan beralih kepada dasar pentadbiran baru iaitu dasar ad hoc dan flip-flop.

Hasilnya, lima tahun selepas Paklah menjadi Perdana Menteri, langsung tidak ada apa-apa yang bermakna atau membanggakan telah dicapai oleh negara ini baik di peringkat nasional mahu pun di persada dunia. Wawasan 2020 yang dulu begitu hangat, dekat dan dinanti-nantikan rakyat lenyap begitu saja. Hari ini yang hangat hanyalah perangai para pemimpin yang sibuk berpolitik demi tembolok dan kelompok sendiri saja.

Perdana Menteri entah apa-apa. Dahlah lembab dan bodoh. Merosakkan pula. Menteri-menteri pun tak kurang juga. Perangai masing-masing macam penyamun tapi bila bercakap macam keldai. Idea-idea yang datang dari otak udang mereka langsung tak boleh pakai. Kesan dari perlaksanaan idea-idea mereka tidak akan lari dari menyusahkan rakyat atau menyusahkan diri mereka sendiri atau menggadai negara.

Perkembangan terbaru memburukkan lagi kecelaruan politik di negara kita. Keldai buat sarkas pun belum tentu dapat mengatasi kelakuan dan kebingaian yang ditunjukkan oleh ahli-ahli politik kita sekarang. Yang itu kata ini, yang ini kata itu. Ada yang dituduh mengebom, ada yang dituduh liwat, ada yang main api perkauman, ada yang ambil kesempatan, ada konspirasi, ada teori, ada khabar angin, ada fitnah, ada dakyah..

Saya sebenarnya percaya di atas semua yang diperkatakan memang ada yang mengebom, ada yang meliwat, ada yang memanaskan api perkauman, ada yang ambil kesempatan, ada yang berkonspirasi, ada yang sebar teori, ada yang sebar khabar angin, ada yang buat fitnah, ada yang berdakyah… Soalnya sampai bila kita harus membiarkan ahli-ahli politik seperti mereka ini menjadi penentu kepada masa depan bangsa dan negara kita?

→ 5 CommentsCategories: Politik

Apabila gelembong intelek telah dipecahkan…

July 3, 2008 · 3 Comments

Saya amat yakin selepas 10 tahun akan datang ijazah universiti sudah tidak lagi akan memberi apa-apa signifikan dalam menentukan hala tuju atau karier peribadi seseorang. Jika sekarang mempunyai sijil SPM sudah tidak memberi apa-apa makna, 10 tahun lagi itulah yang bakal terjadi kepada para pemegang ijazah.

Anak-anak dan remaja sekarang perlu dipupuk untuk membangunkan kemampuan, bakat dan kebijaksanaan peribadi. Mereka semua akan terpaksa bergantung kepada kelebihan sebenar diri masing-masing untuk menonjol di dalam masyarakat mahupun kerjaya. Sijil dan ijazah tidak lagi menjadi faktor penentu. Tidak ada siapa peduli siapa keluar dari universiti mana.

Internet bakal menjadi medan baru perjuangan mereka dalam merebut kejayaan dan kekayaan. Jika dulu siapa yang paling awal dan paling banyak menebang hutan akan menjadi pemilik tanah paling makmur dan kaya, sekarang internet sedang mengambilalih peranan hutan itu. Siapa yang paling awal dan agresif menawan kawasan dalam hutan internet bakal menjadi makmur sama sepertimana moyang mereka dengan hutan mereka dulu.

Apa yang diperlukan hanyalah kreativiti, konektiviti dan interaksi…

→ 3 CommentsCategories: Sosial

Sistem persekolahan pecah-belah perlu diubah

July 3, 2008 · 5 Comments

Negara kita mengamalkan sistem pendidikan pecah-belah. Sebab itulah masyarakat kita juga berpecah-belah mengikut kelompok, misalnya kelompok kaum atau antara yang sekular dengan yang ‘alim’.

Mengapa kita perlu mengasingkan anak-anak atau remaja-remaja kita dalam kelompok-kelompok perkauman atau keagamaan melalui sistem persekolahan mereka? Mengapa kita tidak mewujudkan satu jenis sekolah sahaja? Cita-cita untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang benar-benar teguh dan berjaya tidak akan dapat dicapai selagi sistem persekolahan pelbagai genre yang kita amalkan sekarang tidak diubah.

Kita mesti satukan semua sekolah; baik sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan, agama, teknik, vokasional atau apa saja dalam satu ‘jenis’ sekolah sahaja. Kemudian kita perlu bebaskan pelajar untuk memilih mata pelajaran yang mereka ingin ambil. Ia seperti sistem yang digunapakai di universiti.

Sudah tentu kerajaan boleh tetapkan beberapa matapelajaran teras sebagai mandatori, tetapi mata pelajaran lain terpulanglah kepada pelajar. Biarlah mereka sendiri memilih untuk belajar bahasa Mandarin, bahasa Arab atau matapelajaran yang bersifat teknikal, vokasional, pengurusan dan sebagainya sesuai dengan keinginan, kecenderungan dan kemampuan masing-masing.

Berapa banyak matapelajaran yang mereka ingin pelajari juga terpulang kepada mereka asalkan mereka tidak meninggalkan mana-mana matapelajaran dalam kategori mandatori.

Dengan sistem satu sekolah untuk semua seperti ini, para pelajar boleh belajar di bawah satu bumbung tanpa mengira bangsa atau agama. Ia juga memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan lebih bebas dan belajar sesuatu yang benar-benar mereka minati. Ia akan mempercepatkan kematangan generasi muda kita, baik dari segi hubungan antara kaum mahupun dalam soal hala tuju diri masing-masing.

→ 5 CommentsCategories: Sosial

Pelajar perempuan menguasai IPT

July 3, 2008 · 2 Comments

Pengurangan jumlah pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang mendaftar masuk ke IPT samada awam atau swasta dikatakan semakin ketara saban tahun. Saya tidak mempunyai statistik yang tepat mengenai nisbah sebenar perbezaan itu namun untuk perbincangan di sini cukuplah kita menerima bahawa fenomena itu sememangnya berlaku dan banyak pihak sudah pun bercakap mengenainya.

Ia dianggap satu fenomena yang membimbangkan. Kekurangan pelajar lelaki yang menyertai IPT pada masa ini bermakna sektor intelek, profesional dan pengurusan dalam negara ini akan dikuasai oleh kaum wanita pada masa depan. Dan jika itu berlaku kita tidak pasti apakah kesan terhadap produktiviti dan daya saing negara mahupun struktur sosial dan keluarga di negara kita.

Saya hanya ingin mengemukakan pandangan saya mengapa pelajar lelaki nampak seperti kurang berminat dengan pelajaran/persekolahan mereka berbanding pelajar perempuan. Saya berpendapat corak atau sifat pembelajaran di sekolah-sekolah malahan di IPTA sebenarnya terlalu keperempuanan, girlish. Itulah yang menyebabkan pelajar-pelajar lelaki biasanya ‘lemas’.

Lelaki lebih suka mencuba sesuatu, berdikari dan tidak terkongkong. Perempuan pula lebih senang dengan yang rutin, berstandard dan menurut.

Sebagaimana yang kita semua tahu sistem pembelajaran di sekolah kita banyak mengamalkan budaya menghafal, mengikut skema dan kurang menggalakkan aliran pemikiran secara bebas. Ia sesuai dengan sifat pelajar-pelajar perempuan tetapi tidak untuk lelaki. Sistem pembelajaran yang terlalu bersifat keperempuanan inilah yang menyebabkan pelajar-pelajar lelaki mudah bosan dan geli untuk belajar.

Hasilnya IPTA dikuasai oleh para pelajar perempuan.

→ 2 CommentsCategories: Sosial