Terowong SMART menjadi pertikaian baru di kalangan warga kota sejak minggu lepas apabila ia ditutup selama beberapa hari untuk menjalankan tugas utamanya sebagai penebat banjir kilat.
Walaupun wargakota sedar hujan lebat sememangnya berlaku hampir setiap hari di Kuala Lumpur dalam tempoh penutupan terowong berkenaan, cakap-cakap yang mempertikaikan keberkesanan atau faedah infrastruktur itu kelihatan seakan semakin panas. Lihat contoh mereka yang mempertikai di sini.
Ketidakpuasan hati mereka berpunca dari kesesakan lalulintas teruk yang terpaksa dialami khususnya pada sebelah petang dan awal malam sepanjang penutupan terowong SMART dilakukan. Saya sendiri mengalami keadaan itu pada hari Isnin lepas. Lalulintas di tengah Kuala Lumpur bagaikan terhenti.
Walaupun begitu, saya fikir kita tidak sepatutnya mempertikaikan pembinaan terowong SMART kerana ia sememangnya direka dan dibina untuk mengalih dan menakung sementara air apabila berlaku hujan lebat di Kuala Lumpur. Dengan kebolehan unik terowong tersebut, jumlah air di Sungai Klang dapat dikawal dari terlebih beban dan seterusnya membantu mengelak banjir kilat yang selama ini menjadi salah satu masalah besar kepada penduduk bandaraya.
Kemampuan terowong SMART menampung lalulintas harian adalah fungsi keduanya. Oleh itu apabila keperluan untuk melaksanakan fungsi utama tiba, terowong SMART sudah tentulah tidak ada pilihan lain selain menjalankan tanggungjawabnya.
Masalah kesesakan teruk yang berlaku ketika terowong SMART ditutup, pada pendapat saya, diakibatkan oleh satu sebab lain yang lebih jelas selain dari wargakota kekurangan satu akses keluar yang pada hari biasa, ditampung terowong berkenaan. Sebab tersebut adalah ketiadaan polis trafik yang mengawal lalulintas kerana hujan. Pada hari Isnin yang mana saya juga terperangkap dalam kesesakan, memang tidak ada polis trafik.
Wargakota sepatutnya berterima kasih kerana adanya terowong SMART mereka sudah lepas dari masalah banjir kilat yang cenderung merosakkan hartabenda dan menyusahkan kehidupan mereka. Di samping itu terowong berkenaan juga membantu mengurangkan beban kesesakan jalanraya ketika hari-hari biasa.
Bayangkan kalau terowong SMART tidak dibina, Kuala Lumpur tentu masih terus dibelenggu kebimbangan setiap kali hujan lebat dan keadaan trafik pula tetap teruk di sepanjang masa (bukan sekadar pada hari-hari apabila terowong SMART ditutup sahaja). Kita harus sedar bahawa terowong SMART sebenarnya mencipta laluan alternatif atau laluan tambahan dan penutupannya tidak boleh dilihat sebagai mengurangkan laluan yang sedia ada.
Bagi saya, terowong SMART telah membuktikan ia berjaya mencapai matlamat pembinaannya. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuknya berbaloi. Siapapun yang melahirkan idea terowong ini, dia adalah seorang yang amat bijak mencari penyelesaian masalah.