:: T E M P U A ::

Entries categorized as ‘Sosial’

Radio24 dan kecetekan Tuan Asmawi

July 14, 2008 · 4 Comments

Saya suka mendengar Radio24, di 93.9 FM, radio berita Bernama. Bagaimana saya hanya mendengar semasa memandu. Oleh kerana saya memang banyak menghabiskan masa di atas jalan, jadi boleh dikatakan selalu jugalah berpeluang mendengar siaran radio berkenaan.

Saya berpendapat Radio24 adalah satu konsep penyiaran radio yang baik. Di negara kita boleh kata semua stesen radio lebih mementingkan aspek hiburan atau sememangnya semata-mata hiburan. Oleh itu apabila wujud stesen radio seperti Radio24, ia pasti menarik minat golongan yang lebih suka beriadah dengan berfikir dari sekadar mendengar muzik dari pagi sampai subuh.

Radio24 masih memerlukan banyak kreativiti dan kerja bagi memperbaiki dan memantapkan isi kandungannya. Sekarang, siaran sebelah siang banyak berlegar kepada berita semasa yang diulang-ulang diselangi dengan perbincangan serta undian mengenai sesuatu isu khusus yang diajukan kepada para pendengar untuk hari itu. Ia menarik. Melaluinya kita dapat mendengar pelbagai pendapat dari anggota masyarakat yang berminat untuk turut serta dalam perbincangan berkenaan.

Di sebelah malam pula, lebih banyak pengisian melalui program wawancara. Banyak juga topik-topik berkaitan politik yang dipaparkan dan salah seorang pengendali wawancara bersifat politik adalah Tuan Asmawi. Apa yang menonjol mengenai Tuan Asmawi adalah kebencian beliau kepada Tun Dr Mahathir. Melalui kelebihan beliau sebagai host rancangan, saya lihat beliau sering memancing tetamunya supaya memberi gambaran buruk kepada Tun.

Saya fikir, sebagai stesen radio yang didengar oleh kelompok yang lebih berfikir, Radio24 tidak sepatutnya menyimpan atau membiarkan host yang kelihatan begitu seronok menggunakan kedudukannya sebagai platform melepaskan prejudis dan dendamnya terhadap seseorang. Ia tidak manis. Ia juga langsung tidak profesional.

Categories: Sosial

Apabila gelembong intelek telah dipecahkan…

July 3, 2008 · 3 Comments

Saya amat yakin selepas 10 tahun akan datang ijazah universiti sudah tidak lagi akan memberi apa-apa signifikan dalam menentukan hala tuju atau karier peribadi seseorang. Jika sekarang mempunyai sijil SPM sudah tidak memberi apa-apa makna, 10 tahun lagi itulah yang bakal terjadi kepada para pemegang ijazah.

Anak-anak dan remaja sekarang perlu dipupuk untuk membangunkan kemampuan, bakat dan kebijaksanaan peribadi. Mereka semua akan terpaksa bergantung kepada kelebihan sebenar diri masing-masing untuk menonjol di dalam masyarakat mahupun kerjaya. Sijil dan ijazah tidak lagi menjadi faktor penentu. Tidak ada siapa peduli siapa keluar dari universiti mana.

Internet bakal menjadi medan baru perjuangan mereka dalam merebut kejayaan dan kekayaan. Jika dulu siapa yang paling awal dan paling banyak menebang hutan akan menjadi pemilik tanah paling makmur dan kaya, sekarang internet sedang mengambilalih peranan hutan itu. Siapa yang paling awal dan agresif menawan kawasan dalam hutan internet bakal menjadi makmur sama sepertimana moyang mereka dengan hutan mereka dulu.

Apa yang diperlukan hanyalah kreativiti, konektiviti dan interaksi…

Categories: Sosial

Sistem persekolahan pecah-belah perlu diubah

July 3, 2008 · 5 Comments

Negara kita mengamalkan sistem pendidikan pecah-belah. Sebab itulah masyarakat kita juga berpecah-belah mengikut kelompok, misalnya kelompok kaum atau antara yang sekular dengan yang ‘alim’.

Mengapa kita perlu mengasingkan anak-anak atau remaja-remaja kita dalam kelompok-kelompok perkauman atau keagamaan melalui sistem persekolahan mereka? Mengapa kita tidak mewujudkan satu jenis sekolah sahaja? Cita-cita untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang benar-benar teguh dan berjaya tidak akan dapat dicapai selagi sistem persekolahan pelbagai genre yang kita amalkan sekarang tidak diubah.

Kita mesti satukan semua sekolah; baik sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan, agama, teknik, vokasional atau apa saja dalam satu ‘jenis’ sekolah sahaja. Kemudian kita perlu bebaskan pelajar untuk memilih mata pelajaran yang mereka ingin ambil. Ia seperti sistem yang digunapakai di universiti.

Sudah tentu kerajaan boleh tetapkan beberapa matapelajaran teras sebagai mandatori, tetapi mata pelajaran lain terpulanglah kepada pelajar. Biarlah mereka sendiri memilih untuk belajar bahasa Mandarin, bahasa Arab atau matapelajaran yang bersifat teknikal, vokasional, pengurusan dan sebagainya sesuai dengan keinginan, kecenderungan dan kemampuan masing-masing.

Berapa banyak matapelajaran yang mereka ingin pelajari juga terpulang kepada mereka asalkan mereka tidak meninggalkan mana-mana matapelajaran dalam kategori mandatori.

Dengan sistem satu sekolah untuk semua seperti ini, para pelajar boleh belajar di bawah satu bumbung tanpa mengira bangsa atau agama. Ia juga memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan lebih bebas dan belajar sesuatu yang benar-benar mereka minati. Ia akan mempercepatkan kematangan generasi muda kita, baik dari segi hubungan antara kaum mahupun dalam soal hala tuju diri masing-masing.

Categories: Sosial

Pelajar perempuan menguasai IPT

July 3, 2008 · 2 Comments

Pengurangan jumlah pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang mendaftar masuk ke IPT samada awam atau swasta dikatakan semakin ketara saban tahun. Saya tidak mempunyai statistik yang tepat mengenai nisbah sebenar perbezaan itu namun untuk perbincangan di sini cukuplah kita menerima bahawa fenomena itu sememangnya berlaku dan banyak pihak sudah pun bercakap mengenainya.

Ia dianggap satu fenomena yang membimbangkan. Kekurangan pelajar lelaki yang menyertai IPT pada masa ini bermakna sektor intelek, profesional dan pengurusan dalam negara ini akan dikuasai oleh kaum wanita pada masa depan. Dan jika itu berlaku kita tidak pasti apakah kesan terhadap produktiviti dan daya saing negara mahupun struktur sosial dan keluarga di negara kita.

Saya hanya ingin mengemukakan pandangan saya mengapa pelajar lelaki nampak seperti kurang berminat dengan pelajaran/persekolahan mereka berbanding pelajar perempuan. Saya berpendapat corak atau sifat pembelajaran di sekolah-sekolah malahan di IPTA sebenarnya terlalu keperempuanan, girlish. Itulah yang menyebabkan pelajar-pelajar lelaki biasanya ‘lemas’.

Lelaki lebih suka mencuba sesuatu, berdikari dan tidak terkongkong. Perempuan pula lebih senang dengan yang rutin, berstandard dan menurut.

Sebagaimana yang kita semua tahu sistem pembelajaran di sekolah kita banyak mengamalkan budaya menghafal, mengikut skema dan kurang menggalakkan aliran pemikiran secara bebas. Ia sesuai dengan sifat pelajar-pelajar perempuan tetapi tidak untuk lelaki. Sistem pembelajaran yang terlalu bersifat keperempuanan inilah yang menyebabkan pelajar-pelajar lelaki mudah bosan dan geli untuk belajar.

Hasilnya IPTA dikuasai oleh para pelajar perempuan.

Categories: Sosial

Sufiah, menteri dan pelacur melayu

April 5, 2008 · 2 Comments

Kisah Sufiah Yussof, “gadis pintar matematik” yang berjaya ke Universiti Oxford pada umur 13 tahun menjadi hangat kembali. Kali ini kehangatannya berbeza sedikit kerana Sufiah bukan berjaya mencipta formula matematik baru tetapi kerana karier yang dipilihnya. Sufiah sekarang adalah seorang pelacur yang boleh dilanggan dengan kadar harga 130 pound sterling untuk satu sesi.

Sebaik saja mengetahui tentang “berita hangat” berkenaan, saya pasti para menteri kita tidak menunggu barang sesaat untuk mengklik laman web News Of The World untuk membaca berita penuh sambil melihat sendiri gambar-gambar bogel Sufiah yang dikatakan disiarkan sekali di sana.

Hasilnya, mereka memulakan “Kempen Selamatkan Sufiah”. (Berita lanjut klik di sini). Keputusan menteri-menteri kita ini bukanlah suatu yang luarbiasa kerana sejak dari dulu lagi mereka memang tidak mampu menahan diri jika wang, populariti dan seks terlibat.

Saya bukan tak setuju Kerajaan Malaysia tolong Sufiah. Tetapi ia bukanlah keutamaan.

Di negara kita sendiri gadis-gadis muslim khususnya gadis melayu, bukan sedikit yang terlibat dalam “industri seks”. Malah jika wang menjadi ukuran, kadar yang dikenakan Sufiah adalah jauh lebih tinggi dari semua “pelacur berkelas” yang memberi perkhidmatan di hotel-hotel berbintang atau pusat-pusat hiburan di negara kita. Kalau “bohsia-bohsia” dari kalangan pelajar sekolah, mereka boleh dilanggan secara percuma saja.

Sebab itulah saya setuju dengan pendapat ini. Kalau betul-betul mahu membantu, bantulah gadis-gadis kita dulu. Kenapa membuang masa membantu seorang pelacur di Britain sedangkan di negara kita sendiri pun sudah ada beribu-ribu dan terus berkembang saban hari?

Pelacur-pelacur melayu Islam di negara kita bukanlah satu mitos. Ia merupakan “open secret”. Saya pernah menjadi kontraktor untuk beberapa tahun sebelum ini. Dan sebagaimana rahsia yang diketahui kontraktor-kontraktor lain, hiburan dan seks merupakan imbuhan utama yang sering diminta oleh “orang-orang dalam” bagi melicinkan perniagaan.

Dalam kes saya, merekalah yang memperkenalkan “tempat-tempat baik” apabila mereka perlu “dientertain”. Untuk perkhidmatan seks “touch and go”, lokasi terbaik adalah di hotel-hotel tertentu di sekitar Lembah Klang. Kita mempunyai pelbagai pilihan dari gadis-gadis tempatan sehinggalah gadis-gadis dari Balkan yang begitu “Maria Sharapova”.

Biasanya perkhidmatan-perkhimatan seperti ini dijalankan oleh pengusaha “kelab sukan dan rekreasi”. Masuk ke sana, beritahu etnik pilihan anda dan anda akan diperkenalkan dengan satu kumpulan gadis dari etnik berkenaan. Misalnya, jika anda mahukan gadis Vietnam, mereka akan memperagakan gadis-gadis Vietnam kepada anda. Pilihlah mana-mana satu atau dua atau semua. Harga biasanya tidak lebih dari RM250 untuk satu sesi per satu gadis.

Sepanjang pengetahuan saya, antara hotel yang menyediakan ramai pelacur melayu terletak di Ampang. Dari pemerhatian saya kebanyakan gadis-gadis melayu yang bergiat di hotel ini merupakan “part-timers”. Mereka mungkin dari kalangan pelajar kolej, janda, freelancer atau isteri orang. Mereka “masuk kerja secara” sukarela. Mereka datang sendiri dan tulis nama di buku kedatangan. Suka juga saya nyatakan, penampilan mereka memang amat merangsang nafsu.

Selain pelacur di hotel, GRO pusat-pusat hiburan juga biasanya bersedia untuk memberi “perkhidmatan tambahan” jika sanggup mengeluarkan wang tambahan. Selain itu, gadis melayu yang bergiat sebagai pelacur bebas seperti Sufiah juga bukan tidak wujud di negara kita. Cuma, mereka mungkin belum sampai ke peringkat mengiklankan perkhidmatan di internet.

Di kawasan Felda pula, kegiatan seks sumbang khabarnya amat berleluasa. Di sana, gadis-gadis yang “gilakan seks” boleh dibawa masuk ke dalam ladang/kebun dan seks boleh dilakukan di atas kertas suratkhabar yang dibentang di atas tanah, atau dengan apa cara sekalipun. Bayaran? Kebanyakannya percuma, cuma ayat kenalah power sikit.

Oleh itu, satu cadangan saya kepada “menteri-menteri kempen selamatkan Sufiah”, tukarlah kempen anda kepada Kempen Selamatkan Gadis-Gadis Tempatan. Itu pun kalau anda semua betul-betul ikhlas nak buat kerjalah.

PS: Saya tidak pernah melanggan pelacur. Kesalahan saya adalah membayarkan langganan orang lain. Sekarang saya sudah meninggalkan kerjaya sebagai kontraktor dan terlibat dengan bidang yang tidak memerlukan saya mencari pelacur untuk cari makan.

Komen di sini

Categories: Sosial