Kenapa kerajaan patut kekalkan harga petrol dan diesel
Kerajaan sepatutnya menetapkan harga petrol dan diesel pada harga paling rendah yang mampu ia tawarkan kepada rakyat dan negara tanpa perlu terikut dengan harga minyak di pasaran dunia. Ini kerana kita mengeluarkan minyak dan jumlah eksport kita masih mampu membiayai import bahan yang sama. Jika simpanan kita semakin kurang dan kadar import kita mula melebihi eksport barulah kita naikkan harga mengikut nisbah yang selaras dengan kadar perubahan sebenar yang berlaku.
Harga minyak yang rendah akan membolehkan rakyat membelanjakan wang mereka ke lebih banyak sektor ekonomi atau merancakkan perdagangan dalam negara dan bukan membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk menambah keuntungan pengeluar minyak sahaja. Dengan harga bahan api yang rendah, kadar inflasi dapat dibendung, rakyat dapat membeli lebih banyak barang dan perkhidmatan malahan melabur dan menyimpan juga.
Kerajaan pula boleh memaksimakan nilai wang yang dibelanjakan untuk mengurus dan membangunkan negara. Ia mungkin mendapat kurang sedikit hasil pendapatan dari industri petroleum tetapi kos membina, kos operasi, kos menyelenggara dan lain-lain kos yang ditanggung kekal rendah. Rakyat yang berpeluang luas memakmurkan diri mereka akhirnya dapat menyumbang semula pada kadar lebih besar kepada kerajaan. Suasana yang serba rendah dan serba makmur akan menjadikan negara menonjol sebagai satu lokasi pelaburan yang menarik serta meyakinkan kepada pelabur-pelabur luar.
Sebaliknya, dengan menaikkan harga minyak, rakyat, kerajaan dan negara hanya mengundang lebih banyak masalah. Kadar inflasi akan meningkat. Kos hidup rakyat melonjak. Jika dulu RM10 boleh membeli 10 barang, selepas kenaikan harga minyak dengan RM10 kita hanya mampu mendapat 5 atau 6 barang saja. Tekanan meningkat, kadar jenayah juga mungkin turut meningkat dan banyak sumber akan hangus dalam usaha memperbetulkan semua komplikasi baru yang timbul bersama peningkatan kos hidup.
Dengan kata lain, taraf hidup rakyat menurun dan sektor perniagaan mungkin boleh mengalami kelembapan. Kerajaan pula terpaksa berbelanja lebih besar untuk membina atau membuat sesuatu. Ya, pada mulanya ia mungkin nampak “wang yang kononnya dapat dijimatkan” hasil dari pengurangan atau pembatalan subsidi minyak, tetapi kesan sebenarnya adalah rakyat merasa terhimpit dan tertekan, ekonomi terbantut, belanja kerajaan meningkat. Akhirnya ‘penjimatan’ subsidi minyak entah ke mana, rakyat ke mana, kerajaan ke mana, negara ke mana dan pelabur asing pula menjauhkan diri.
Dalam persaingan regional mahupun dunia yang begitu sengit sekarang, kerajaan harus pandai menggunakan segala kelebihan yang dimiliki untuk kepentingan rakyat dan negara sendiri. Orang lain boleh berkata kita mesti menjual petrol dan diesel mengikut harga pasaran dunia. Tetapi adakah tindakan itu akan menjadikan kita lebih dinamik atau kompetitif dari mereka? Adakah kita benar-benar untung kalau ikut cakap mereka?
Siapa paling terhimpit dengan lonjakan harga minyak?
Golongan yang makan gaji. Ini kerana gaji tidak akan naik dengan mudah. Apabila harga minyak naik, kesannya adalah meluas kerana ia adalah sumber utama yang mengerakkan seluruh jentera ketamadunan manusia. Kos bertani akan naik. Kos menangkap ikan akan naik. Kos membuat barangan akan naik. Kos menghantar barangan akan naik. Kos menjual dan membeli barang juga naik. Pendek kata semua akan naik kerana minyak naik. Tetapi gaji biasanya akan kekal pada tahap yang sama buat beberapa lama. Maka terpaksalah golongan makan gaji mengubah cara hidup, berjimat, berhemah, mengorbankan sesuatu, mengikat perut dan sebagainya demi survival.
Keadaan berbeza bagi golongan peniaga. Secara mudah, pendapatan mereka sebenarnya adalah berdasarkan kepada keuntungan perniagaan yang mereka jalankan. Jika pada kadar harga tertentu sesuatu urusan itu tidak menguntungkan, mereka sentiasa boleh melaraskan semula kadar harga bagi memperoleh margin keuntungan yang ideal. Jika ini berlaku, biasanya pengguna tidak mempunyai banyak pilihan selain dari mengikut kadar harga baru yang ditetapkan peniaga. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa kesan kenaikan harga minyak tidak akan ketara kepada masyarakat peniaga.
Di Malaysia, Melayu merupakan kumpulan terbesar yang makan gaji. Oleh itu merekalah yang akan menjadi kelompok paling terhimpit akibat dari lonjakan harga minyak.