Isu Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan perlantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) masih lagi hangat. Pengerusi DAP itu, sama ada berniat atau tidak, sememangnya telah mengeluarkan kenyataan kontroversi berkenaan.
Di sebalik mengakui keterlanjuran atau memohon maaf, Karpal tetap menegakkan dan mengulang-ulang kenyataan beliau itu malah kini melebarkan pertikaian secara langsungnya dengan pihak istana Selangor pula.
Karpal Singh nampaknya tidak keseorangan dalam mempamerkan kebiadapan terhadap institusi Raja. Sebagai ahli politik veteran yang berpengaruh, Karpal mendapat sokongan terbuka dari banyak pihak khususnya dari kalangan parti pimpinannya sendiri dan Pakatan Rakyat amnya.
Nampaknya orang sudah tidak takut memperdebatkan kuasa atau kedudukan Raja-Raja Melayu. Mungkinkah Akta Hasutan tidak sejelas yang kita sangka selama ini?
Secara peribadi saya melihat kerajaan tidak boleh berlengah dan lembik dalam menangani soal kebiadapan terhadap institusi Raja. Tetapi kerajaan sendiri mungkin berada dalam keadaan tidak selesa, dan sukar untuk menunjukkan ketegasan terhadap Karpal kerana terperangkap dengan kegagalannya berbuat yang sama ketika ‘orang mereka sendiri’ melakukan perbuatan yang serupa.
Kita semua telah menyaksikan kebiadapan beberapa pemimpin UMNO dan penyokong mereka terhadap Sultan Terengganu dalam kemelut perlantikan Menteri Besar negeri itu sebelum ini. Malah Karpal sendiri telah menggunakan episod berkenaan untuk mewajarkan episodnya pula.
Kalau orang UMNO biadap terhadap Sultan lepas dari tindakan, mengapa beliau pula kena? Kenapa ada ‘double standard’? Begitulah hujah Karpal.
Di sini kita melihat peri pentingnya negara mempunyai seorang Perdana Menteri atau secara umumnya, kepimpinan yang tegas dan sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang biar apapun latar sesuatu isu atau peristiwa. Kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi sama sekali.
Timbangrasa, jika mahu diberikan, harus berdiri di atas prinsip dan rasional yang jelas dan tidak sesekali boleh membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasikannya di kemudian hari. Favoritisme atas dasar apa pun tidak sepatutnya berlaku.
Oleh itu, jika kerajaan perlu mendakwa semua pemimpin dan penyokong UMNO yang terlibat di dalam episod menghina dan biadap terhadap Sultan Terengganu sebelum mereka boleh berasa selesa untuk menghentikan kebiadapan Karpal Singh dan mengambil tindakan yang sama terhadap beliau, kerajaan kena lakukan.
Keadilan dalam menegakkan undang-undang harus dilaksanakan secara menyeluruh tanpa teragak-agak. Semua orang sedang melihat dengan teliti bagaimana kerajaan akan menyelesaikan isu Karpal ini. Ia bukanlah isu yang susah untuk diselesaikan. Tetapi di bawah kepimpinan Paklah, nasi yang sudah berada di dalam pinggan pun masih boleh menjadi bubur.