Tun Dr Mahathir berkata beliau sedih dengan apa yang sedang berlaku di dalam UMNO.
“Semua sudah tidak lagi utamakan perjuangan UMNO. Mereka hanya berjuang untuk mengekalkan Abdullah.
“Saya sedih. Mereka tunjuk taat setia kepada Abdullah tetapi tidak lagi taat setia kepada parti,” kata Tun semasa berucap selepas pulang dari menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-14 di Jepun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah semalam.
Saya bersetuju dengan Tun bahawa kebanyakan pemimpin UMNO hari ini sememangnya tidak mengutamakan perjuangan parti. Tetapi tidak seperti Tun, saya berpendapat mereka bukanlah berjuang untuk mengekalkan Paklah kerana mereka begitu memerlukan atau menghargai Paklah sebagai pemimpin mereka.
Saya tidak percaya langsung kesetiaan yang mereka laung-laungkan itu benar-benar datang dari hati yang tulus. Jika Paklah bukan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, saya percaya mereka tidak ingin mendengar apa-apa yang datang dari mulut Paklah.
Perjuangan sebenar mereka adalah perjuangan untuk diri mereka sendiri. Mereka mahu kekal dengan pangkat, kedudukan, gaji, elaun, kemudahan dan pelbagai lagi keuntungan yang mereka boleh perolehi melalui parti. Paklah tidak penting. UMNO tidak penting. Bangsa tidak penting. Negara tidak penting. Yang penting adalah survival diri, keluarga dan kaum kerabat mereka sendiri.
Mereka bukan tak tahu Paklah membawa kerosakan. Tetapi mereka tidak akan berbuat apa-apa mengenainya kerana sebarang langkah untuk mengubah status quo pastinya akan juga akan memberi kesan kepada masa depan mereka. Mereka tidak berani mengambil risiko.
Misalnya jika sekarang mereka Ketua Bahagian, apakah jaminan mereka dapat mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Bahagian andainya mereka bangkit memimpin penentangan terhadap Paklah di bahagian mereka? Kalau mereka menang, mungkin. Tetapi bagaimana jika mereka kalah?
Saya nampak risiko seperti inilah yang tidak sanggup diambil oleh para pemimpin UMNO di pelbagai peringkat. Dilema ini berlaku kerana para pemimpin khususnya dari kalangan generasi baru begitu teruk dijangkiti sindrom politik cari makan.
Mereka tidak berpolitik kerana mahu memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara tetapi lebih kepada menjadikannya sebagai kerjaya bagi mengejar pangkat dan habuan kewangan. Sikap mereka tidak ubah seperti pekerja yang takutkan bos atau terpaksa mengampu bos bagi memastikan masa depan kerjaya yang cerah. Kepada mereka tindakan melawan bos hanya akan mengundang padah.
Saya berpendapat adalah sukar untuk kita mengubah pandangan atau pendirian para pemimpin UMNO ini kerana ia melibatkan soal periuk nasi mereka. Tun Dr Mahathir berhak merasa sedih dengan apa yang berlaku kepada UMNO. Malangnya beliau tidak akan dapat melakukan apa-apa mengenainya.
Paklah akan terus kekal sebagai Presiden selama yang dia mahukan dan para pemimpin UMNO akan terus bergayut di tepi kepuk untuk memenuhkan perut mereka sementara peluang masih ada.
1 response so far ↓
jiwa saya // May 30, 2008 at 7:27 am
salam tempua,
saya sokong 1000000000000000000000000000000% apa yang saudara cakapkan.pepimpin penakut……..penakut..penakut…penakut…penakut.
Leave a Comment