Pada hari ini 19 Mei 2008, Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar dari UMNO, sebagai protes kepada kepimpinan Paklah yang beliau sifatkan tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa sebagaimana matlamat asal penubuhan parti berkenaan.
Keputusan bekas mantan Perdana Menteri itu saya anggap sebagai satu tindakan paling lantang dalam usaha beliau “membuka mata” ahli-ahli UMNO dan orang Melayu amnya supaya bangkit memaksa Paklah melepaskan jawatannya.
Saya percaya Tun Dr Mahathir sebenarnya amat kecewa dengan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu kerana mereka seperti tidak kisah, tidak berdaya dan tidak berusaha untuk menolak kepimpinan Paklah padahal jelas sekali kepimpinan Perdana Menteri kelima itu begitu lemah dan mengakibatkan hakisan yang jelas kepada kuasa dan kepentingan bangsa Melayu sekarang ini.
Ramai pemimpin UMNO di pelbagai peringkat lain pula lebih suka berperangai seperti anjing peliharaan yang hanya tahu menjaga kepentingan tuan-tuan mereka iaitu Paklah tiga beranak. Kepentingan bangsa, agama dan negara bagaikan tidak wujud dalam kamus diri mereka.
Insaf dengan keadaan itu, Tun Dr Mahathir terpaksa akur bahawa pendekatan perjuangannya menyedarkan Melayu di sepanjang 4 tahun terakhir ini tidaklah begitu berkesan. Jika anda membuat perkara yang sama berulang-ulang dan mendapat hasil yang sama juga berulang-ulang, anda harus tahu bilakah masanya anda perlu berhenti dan mencari jalan lain.
Itulah yang sedang dilakukan Tun. Perletakan jawatan Tun Dr Mahathir tidak sekali-kali boleh dilihat sebagai langkah mengundur dari perjuangan. Ia sebenarnya satu langkah strategik luarbiasa yang memerlukan keyakinan dan keberanian untuk melakukannya.
Selepas keputusan PRU yang lepas, saya sendiri pun pernah mencadangkan supaya ahli-ahli UMNO keluar parti beramai-ramai sebagai protes kepada kepimpinan Paklah yang gagal memahami aspirasi rakyat melalui forum di Mykmu.net.
Sebagaimana saranan Tun hari ini, saya juga menegaskan bahawa cadangan keluar UMNO bukan bermakna kita akan masuk parti lain atau menubuhkan parti baru. Ia sekadar untuk memberi tekanan kepada Paklah dan memaksa beliau melepaskan jawatan. Selepas Paklah berjaya ditumbangkan, masuklah UMNO semula.
Taktik ini mudah serta praktikal dan jika majoriti UMNO boleh bersatu hati, ia pasti boleh mencapai matlamat yang diharapkan. Tidak ada pemimpin tertinggi parti boleh bertahan jika semua ahlinya lari keluar. Cara ini juga tidak menyalahi mana-mana peraturan parti mahupun undang-undang negara.
Sekarang terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO untuk mengorak langkah menentukan arah tuju parti dan bangsa mereka di negara bertuah ini. Tun Dr Mahathir sudah pun menunjukkan caranya. Apa yang diperlukan oleh ahli-ahli UMNO hanyalah conscience yang jelas serta kesediaan untuk menyalin keberanian dan keyakinan Tun.
Demi Allah, jika dengan usaha terbaru Tun Dr Mahathir ini pun ahli-ahli UMNO masih teragak-agak, mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa lagi jika masa depan anak bangsa mereka menjadi lebih sukar dan berliku.
Komen di sini