:: T E M P U A ::

Entries from April 2008

Koridor pembangunan tipu

April 23, 2008 · 2 Comments

Wilayah Pembangunan Johor Selatan, yang kemudian ditukar kepada Wilayah Pembangunan Iskandar dan kemudian ditukar lagi kepada Iskandar Malaysia merupakan koridor wilayah pembangunan pertama yang dilancarkan oleh Paklah. Wilayah pembangunan ini diumumkan sejurus selepas kerajaan mengumumkan pembatalan pembinaan jambatan bengkok yang kononnya boleh memberi pelbagai implikasi buruk kepada negara.

Ia mungkin idea yang diilhamkan oleh Singapura bagi menggantikan semua perancangan pembangunan Johor Selatan yang datang bersama pembinaan jambatan bengkok. Kemungkinan itu memang wajar apabila kerajaan mengadakan mesyuarat peringkat kabinet bersama-sama pihak Singapura pada peringkat awal perlaksanaannya.

Adakah masuk akal kita mengadakan mesyuarat dengan negara asing untuk merancang dan melaksanakan sesuatu projek yang terletak dalam wilayah kita sendiri? Kalau kita berjumpa mereka kerana mahu memasarkan lokasi berkenaan, atau dengan kata lain, menarik masuk pelabur asing setelah kita menyiapkan infrastrukturnya, itu bolehlah diterima.

Kelakuan kerajaan berkiblatkan Singapura itu sebenarnya sangat menjolok mata rakyat yang berfikir dan mengundang banyak persoalan serta kebimbangan.

Untuk meredakan keadaan, Wilayah Pembangunan Johor Selatan ditukar nama menjadi Wilayah Pembangunan Iskandar. Mungkin pada pandangan mereka yang berkomplot, apabila Sultan dilihat terlibat, reaksi negatif akan dapat dilunturkan. Namun ia tidak semudah itu. Akhirnya, datanglah idea untuk mencipta koridor-koridor pembangunan lain supaya rakyat melihat kerajaan sebagai berlaku adil kepada semua.

Maka dalam masa yang singkat saja Paklah pun melancarkan pelbagai koridor pembangunan dari Perlis sampai ke Sabah. Walaupun bunyinya begitu hebat, sebenarnya koridor-koridor pembangunan Paklah ini tidak lebih dari sekadar konsep semata-mata. Ia seperti memukul tong kosong, bunyi saja kuat tapi tidak ada isi. Sehingga hari ini belum nampak sebarang perancangan atau tindakan yang dilaksanakan secara khusus bagi mengisi koridor-koridor yang telah dilancarkan itu.

Cubalah perhatikan. Satu-satunya wilayah pembangunan yang bergerak dalam ertikata sebenar hanyalah Iskandar Malaysia/Wilayah Pembangunan Iskandar/Wilayah Pembangunan Johor Selatan, iaitu wilayah pembangunan yang digubal bersama Singapura. Koridor pembangunan lain tidak lebih sekadar “decoy” untuk mengalih pandangan rakyat dari menggagalkan projek berkenaan.

Komen di sini

Categories: Politik

Kalau nak senang, mati ajeLAH!

April 22, 2008 · 6 Comments

Kos meningkat, projek RMK-9 dikaji semula

22/04/2008 11:27am

KUALA LUMPUR 22 April – Beberapa projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dikaji semula berikutan masalah kenaikan kos, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. – Utusan.

Sebaik saja mengambilalih jawatan Perdana Menteri, Paklah tidak menunggu untuk melaksanakan projek pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri yang menelan belanja hampir RM60 juta dan membeli sebuah pesawat Airbus baru yang dikhabarkan berharga RM200 juta.

Bagaimanapun, di sebalik projek-projek yang memewahkan dirinya itu, Paklah membatalkan dan menangguhkan pelbagai projek yang strategik kepada negara seperti pembinaan Jambatan Bengkok, pembinaan landasan keretapi berkembar dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, Jambatan Pulau Pinang Kedua, pembangunan Putrajaya dan lain-lain.

Banyak alasan yang diberi. Antaranya, kerajaan tidak ada wang, mahu mengamalkan perbelanjaan berhemat, rakyat tidak setuju, salah di bawah undang-undang antarabangsa dan entah apa-apa lagi. Menurut Paklah, beliau mahu menumpukan kepada RMK9. Pada satu ketika, setiap kali membuka mulut Paklah akan menyebut RMK9 sehingga nak termuntah kita semua mendengarnya.

Bagaimanapun sehingga hari ini, saya tidak nampak ada mana-mana projek yang bersifat ikonik berjaya dilaksanakan di sepanjang RMK9 kebanggaan Paklah itu. Malah, projek-projek rutin seperti pembinaan sekolah pun saya yakin belum ada yang siap. Apa cerita sekolah Bandar Seri Mahkota, projek RMK9 pertama yang dirasmikan, sudah siapkah?

Sekarang nak kaji semula projek-projek di bawah RMK9 kerana masalah kenaikan kos pula. Kalau setiap kali kos naik, projek dibatalkan atau ditangguh, sampai bila pun masalah tak akan selesai. Kenaikan kos adalah fenomena biasa dan berlaku sepanjang masa. Kalau sesuatu yang normal itu pun Paklah tak boleh fikir untuk mengatasinya, tak payahlah jadi Perdana Menteri.

Komen di sini

Categories: Politik

Memahami intipati Perang Badar

April 17, 2008 · 4 Comments

Sebagai muslim kita selalu dengar pasal Perang Badar, perang pertama dalam sejarah Islam.

Walaupun kita selalu dengar ustaz bercerita tentang Perang Badar, sebenarnya tidak ramai muslim (di sini baca: orang Melayu) yang dapat memahami intipati perang ini dengan jelas dan tepat. Ia mungkin disebabkan sudut penceritaan yang tidak memberi fokus kepada intipati berkenaan.

Apakah sebenarnya Perang Badar?

Perang Badar bukanlah perang dalam ertikata yang kita faham sebagai “perang” hari ini. Perang Badar merupakan satu serangan hendap oleh muslim Madinah yang diketuai oleh Nabi Muhamad saw ke atas rombongan perniagaan yang diketuai Abu Sufyan yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan membawa balik sejumlah besar barang dagangan milik peniaga-peniaga Quraish di Mekah.

Serangan hendap itu dilakukan di atas Bukit Badar. Dan sebagaimana yang kita tahu, pihak muslim berjaya telah memenangi perang/serangan hendap tersebut.

Oleh kerana yang mereka perangi dan menangi itu adalah satu rombongan perniagaan yang sedang membawa banyak barang dagangan, maka sebab itulah ada “harta rampasan perang”. Harta rampasan perang itu sebenarnya adalah barang dagangan milik Quraish yang dirampas dari rombongan Abu Sufyan.

Kalau kita tengok melalui minda semasa kita, adakah patut perbuatan Nabi saw menyerang hendap sebuah rombongan perniagaan dan merampas barang dagangan mereka? Apa beza Nabi saw dengan ketua lanun?

Tetapi kita tahu bahawa tindakan itu bukanlah idea Nabi saw. Tapi adalah wahyu dari Tuhan. Tuhan yang memerintahkan kaum muslim melakukan tindakan itu. Nabi sendiri pada awalnya amat keberatan untuk melakukannya, tetapi Tuhan telah bertegas supaya mereka menjayakannya dan menjanjikan imbuhan, bukan saja dunia malah akhirat.

Kenapa Tuhan memerintahkan Nabi saw dan muslim Madinah menyerang hendap rombongan perniagaan Quraish?

Inilah intipati yang kita mesti faham. Bahawa untuk berjaya, kita haruslah berani hatta terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri, kaum kita atau orang lain. Bila kita berani barulah kita boleh menguasai orang. Bila kita sudah menguasai orang, barulah kita boleh melakukan agenda kita.

Kita perlu faham bahawa dalam Perang Badar, harta rampasan perang atau barang dagangan Quraish bukanlah matlamatnya walaupun ia tetap memberi sedikit sebanyak motivasi kepada muslim Madinah untuk turut serta. Apa yang Tuhan inginkan adalah supaya mereka mendapat keberanian, keyakinan dan menyimpan sifat mahu menguasai.

Kita tahu, selepas Badar muslim di bawah pimpinan Nabi saw terus maju ke hadapan, berjaya mengambilalih banyak kerajaan serta kawasan sehingga Islam dapat disebarkan ke seluruh dunia.

Semuanya dapat dijayakan kerana Tuhan, melalui Perang Badar itu sesungguhnya telah berjaya merubah komuniti muslim Madinah yang terpinggir dan serba kekurangan kepada sebuah komuniti yang amat berani, yakin serta memiliki keghairahan yang tinggi untuk menguasai orang lain.

Komen di sini

Categories: Politik

Malaysia dan Melayu pasca UMNO: Senario 1

April 17, 2008 · 1 Comment

Selama setengah abad UMNO memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia. Bagaimanapun arus perubahan yang sedang berlaku di depan mata kita nampaknya tidak mampu dihalang sesiapa. Politiking dalaman UMNO yang terlalu melindungi Paklah, walaupun sudah dikenali rakyat sebagai seorang pemimpin yang tidak berkemampuan dan merosakkan, sesungguhnya telah menghakis setiap lapisan kredibiliti parti berkenaan. UMNO sedang mengikis dominasi politik mereka sendiri dan sedang pantas berubah menjadi sebuah parti yang tidak lagi signifikan.

Kurang lima tahun dari sekarang, landskap politik kita akan dikenali sebagai Malaysia pasca UMNO. Dalam tempoh infansinya, landskap politik Malaysia pasca UMNO akan menyaksikan suatu suasana politik yang penuh dengan kekaburan, retorik dan cacamarba. Tidak akan ada parti politik yang mampu mendominasi kuasa, para pemimpin politik akan sibuk bergendang sesama mereka, Malaysia akan terjebak dalam kancah globalisasi yang tidak bersempadan dan rakyat tidak ada pilihan kecuali menjadi lebih berdikari.

Suhu perhubungan antara kaum akan meningkat tetapi ia tidak akan sampai mencetuskan konflik yang parah kerana masing-masing harus memikirkan survival jangka panjang. Atas sebab yang sama jugalah, rakyat Malaysia pasca UMNO tidak akan mengambil masa yang lama untuk membuat “adjustment” yang diperlukan. Bagaimanapun, Melayu, seperti biasa akan menjadi kaum yang paling banyak “berkorban” di gerbang Malaysia pasca UMNO ini.

Di era Malaysia pasca UMNO, bangsa Melayu tidak akan dapat lari dari melakukan transformasi demi memastikan survival mereka. Hakikat bahawa mereka bukan lagi bangsa yang mendominasi kuasa dan berkedudukan istimewa, bakal memecah “kamar keselesaan” yang telah sekian lama mereka nikmati. Tetapi Melayu tidak akan “lari balik kampung”. Mereka tidak ada pilihan kecuali bertahan dan mengharungi segala cabaran yang datang.

Walaupun dunia mereka berubah dalam tempoh yang begitu singkat, tetapi saya yakin Melayu tahu apa yang mereka harus lakukan untuk mengatasinya dan mereka akan berjaya.

Melayu pasca UMNO akan lebih menghargai sumbangan dan minda Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi dalam masa yang sama mereka akan melihat bahawa kebodohan dan kebebalan Paklah sebagai suatu “blessing in disguise”. Dengan kebangkitan semula Melayu, kestabilan politik akan kembali. Cuma, kali ini ahli-ahli politik tidak lagi boleh naik daun. Mereka akan patuh kepada rakyat umpama lembu pedati.

Maka hiduplah seluruh rakyat Malaysia pasca UMNO dalam aman dan makmur selama-lamanya…

Komen di sini

Categories: Politik

Patutkah kita tiru cara Cina?

April 16, 2008 · 2 Comments

Presepsi umum adalah, politik menyatukan manusia, atau dalam konteks politik di negara kita, ia menyatukan bangsa. Hakikatnya tidaklah begitu. Di sebalik slogan dan propaganda penyatuan, pada masa yang sama politik sebenarnya menyebarkan perpecahan.

Berapa besar potensi perpecahan bergantung berapa ramai ahli politik, berapa banyak parti politik serta berapa jauh ideologi-ideologi mereka. Dari sudut parti pula, semakin ia berkembang dan membesar, semakin besar jugalah risiko perpecahan yang akan berlaku di dalamnya.

Faktor terbaik untuk menyatukan sesuatu bangsa adalah melalui kekuatan ekonomi. Berbeza dengan politik, perkembangan ekonomi yang dikecapi sesuatu bangsa akan menjadikan mereka lebih rapat dan lebih memerlukan antara satu sama lain. Mereka tidak perlu bercakap sampai berbuih-buih mulut tentang penyatuan bangsa, wang akan melakukan semuanya untuk mereka.

Ini telah dibuktikan oleh bangsa-bangsa minoriti tetapi telah menjadi gergasi di persada dunia iaitu bangsa Yahudi dan Cina Seberang Laut. Kedua-dua bangsa ini menggunakan modus operandi yang sama dalam mengukuhkan survival mereka di persekitaran yang pada dasarnya adalah mustahil untuk mereka kuasai.

Bagaimanapun dengan membina kekuatan dan jaringan ekonomi sesama mereka, akhirnya bangsa-bangsa ini bukan saja mampu mengecapi kehidupan yang makmur bahkan turut menguasai geo-politik negara yang mereka duduki walaupun ia mungkin terpaksa dilakukan secara tidak langsung.

Menyedari perkara ini, saya berpendapat sudah sampai masanya umat Melayu di negara kita melihat ke arah kaedah yang sama seperti Yahudi dan Cina Seberang Laut untuk mengukuhkan bangsa.

Selama ini tumpuan usaha kita terlalu bergantung kepada kuasa dan permainan politik. Namun selepas 50 tahun apa yang kita nampak bangsa kita semakin berpecah-belah dan kekal lemah dalam persaingan berbanding dengan bangsa lain, khususnya Cina.

Oleh itu, apa kata kita lihat bagaimana rakan-rakan Cina di negara kita membina kekuatan khususnya dalam perniagaan. Ini kerana pembinaan komuniti perniagaan merupakan langkah paling asas kepada pembangunan dan pengukuhan ekonomi sesuatu bangsa.

Saya berpendapat, kita tidak harus takut atau malu untuk belajar dan memahami apa saja kaedah, pengalaman serta nilai-nilai yang mereka gunapakai sehingga mampu menjadi komuniti perniagaan yang amat berjaya. Kita ambil semua unsur positif yang mereka miliki dan serapkan bersama unsur-unsur positif yang menjadi pegangan kita sendiri.

Usaha ini pastinya tidak mudah. Tetapi tentu ada cara yang membolehkan ia dilaksanakan dengan berkesan. Saya tidak ada sebarang cadangan terperinci. Tetapi saya percaya para pembaca yang budiman mungkin mempunyai idea-idea bagus yang boleh kita fikirkan bersama.

Matlamat akhir kita adalah untuk memiliki sebuah komuniti perniagaan yang menyeluruh dan “self-sustained” di kalangan bangsa Melayu. Jika kita berjaya mencapai matlamat tersebut, ahli politik mana pun akan mendengar cakap kita.

Komen di sini

Categories: Politik