Keputusan seorang pemimpin kanan Gerakan menerima jawatan di bawah kerajaan DAP Pulau Pinang baru-baru ini tidak seharusnya diambil ringan oleh BN jika ia mahu terus kekal dan mengembalikan sokongan ahli serta penyokongnya.
1. Pemimpin Gerakan berkenaan mungkin mempunyai keinginan tulen untuk bekerja demi kebaikan Pulau Pinang dan Malaysia. Tetapi ia mungkin juga disebabkan kesetiaan yang wujud di dalam BN sekarang disandarkan kepada keuntungan peribadi atau akibat takut kepada sesuatu.
2. Di kalangan pemimpin, inilah yang berlaku. Mereka tidak memiliki perasaan cinta yang tulen kepada matlamat-matlamat yang menjadi asas kewujudan parti. Mereka hanya bersaing untuk mendapat laba yang boleh diagihkan oleh parti apabila mereka menang pilihanraya. Mereka mungkin akan dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri atau Speaker. Mereka mungkin boleh mendapat kontrak-kontrak, lesen-lesen, AP dan sebagainya.
3. Apabila parti kalah, semua itu tidak dapat diperolehi. Maka sebab menyokong parti pun lenyap.
4. Di sebaliknya pula, akar umbi tidak mendapat sebarang keuntungan samada parti menang atau kalah. Pada umumnya parti sudah tidak lagi berguna bagi kebaikan negara tetapi hanya untuk menebalkan poket para pemimpin semata-mata. Jadi, kepada akar umbi, mengapa mereka perlu membantu para pemimpin mengisi poket masing-masing?
5. Parti boleh terus menabur janji tetapi ahli-ahli tahu bahawa ia hanyalah janji-janji kosong.
6. Kalaulah pembangkang cukup bijak untuk menampilkan kerajaan yang baik, mengambil berat kepentingan rakyat, menonjolkan cara hidup sederhana seperti tidak terbang menggunakan jet sewa khas untuk ke Kuala Lumpur atau membawa Exco atau Ketua Bahagian makan angin keluar negara, maka mereka yang mengundi pembangkang kerana marahkan BN pada 2008 akan terus mengekalkan kesetiaan mereka kepada Pembangkang.
8. Jika itu berlaku, BN, UMNO dan parti-parti komponen lain bolehlah melupakan cita-cita untuk menawan semula negeri-negeri yang telah terlepas kepada pembangkang. Ahli-ahli mereka yang berpaling tadah akan terus berpaling tadah dan bekerja secara aktif menentang BN dalam pilihanraya akan datang. Kalah sekali adalah teruk tetapi kalah buat kali kedua dalam pilihanraya Malaysia bermakna kehancuran mutlak.
9. Tidak lama lagi peluang akan tertutup. Kecuali tindakan-tindakan drastik diambil sekarang, BN dan UMNO dan sudah tentu juga semua parti komponen tidak akan ada masa yang cukup untuk membuat pembetulan atau penyembuhan menjelang pilihanraya akan datang. Jika ini berlaku dan BN kalah keseluruhannya, para pemimpin yang gagal mengurus BN akan diingati dalam sejarah sebagai pengkhianat parti yang telah berjaya menewaskan Malayan Union, mendapatkan kemerdekaan negara dan membangunkannya seperti yang dapat kita lihat hari ini.
10. Para pemimpin (UMNO dan BN) masih ada pilihan. Teruskan menyokong orang yang telah menyebabkan BN dan parti-parti komponennya kecundang atau berhenti mementingkan diri sendiri dan kembali kepada perjuangan untuk negara yang sebenarnya. Hari ini anda mungkin memperoleh sesuatu untuk diri sendiri tetapi anak cucu anda akan membayar harga yang dahsyat.
11. Pilihan di tangan anda.
Dr Mahathir bin Mohamad
Sumber asal: http://bigdogdotcom.wordpress.com | Terjemahan: Tempua

