Saya tidak kenal Ahmad Said. Tetapi saya percaya keputusan Sultan memilih beliau sebagai Menteri Besar dan bukan Idris Jusoh, calon yang dicadangkan Paklah, adalah bermatlamatkan kepentingan rakyat Terengganu.
Memang benar, Paklah sebagai presiden atau ketua kepada parti UMNO yang telah memenangi majoriti pada pilihanraya lepas, boleh memilih calon dari kalangan ADUN yang mewakili partinya untuk dicadangkan kepada Sultan sebagai calon Menteri Besar.
Bagaimanapun, kata putus siapa calon yang dilantik terletak di tangan Sultan sepertimana termaktub di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Yang perlu dijaga cuma, Menteri Besar yang dilantik mestilah dari kalangan wakil parti yang mendapat sokongan majoriti. Dalam kes ini, Ahmad Said adalah ADUN UMNO.
Oleh itu saya berpendapat, selepas menerima watikah perisytiharan perlantikan dari pihak Istana, Ahmad Said adalah sah kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.
Menurut Paklah yang mengulas mengenai perlantikan berkata, pihak Istana telah melanggar Perlembagaan.
Saya merasakan kesimpulan Paklah itu mungkin dibuat berikutan pembatalan Ahmad Said sebagai ahli UMNO sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu dari kalangan UMNO sendiri.
Sehingga hari ini tidak ada pihak yang benar-benar dapat mengesahkan dakwaan pembatalan keahlian UMNO Ahmad Said.
Namun jika ia berlaku, mengapa UMNO mengambil tindakan yang begitu drastik hanya kerana Ahmad Said dipilih Sultan untuk menjadi Menteri Besar sukar difahami rasionalnya.
Kemudian, mengenai perbuatan 22 ADUN yang menolak perlantikan Ahmad Said. Mereka diberitakan mendesak mahu Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.
22 Adun berkenaan bukan saja memboikot majlis penerimaan watikah perlantikan Ahmad Said, bahkan mereka turut mengadakan demonstrasi membantah majlis itu di perkarangan kediaman Idris Jusoh.
Pada ketika Lim Kit Siang mengarahkan ADUN DAP memboikot perlantikan calon Menteri Besar dari Pas di istana Perak baru-baru ini, para pemimpin UMNO melaungkan slogan anti penderhakaan dengan begitu lantang.
Lim tidak menunggu lama untuk memohon maaf dan kembali ke pangkal jalan.
Tetapi bagaimana dengan Idris Jusuh dan 22 ADUN yang membantah keputusan Sultan Terengganu?
Terpulanglah kepada penilaian anda. Namun bagi saya, perbuatan mereka jelas tidak betul, tidak sopan dan menderhaka kepada Sultan.
Mengenai Paklah pula, saya merasa agak pelik dengan kedegilannya mempertahankan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Ahmad Said juga adalah wakil rakyat UMNO.
Sebagai presiden, tentulah pemilihan Ahmad Said sebagai calon UMNO dalam pilihanraya mendapat restu Paklah, sama seperti Idris Jusoh.
Sepatutnya tidak sukar untuk Paklah menerima keputusan Sultan. Apa beza bekerja dengan Idris Jusoh dan bekerja dengan Ahmad Said?
Jawapannya hanya Paklah yang tahu…