Perkembangan terkini
Pagi ini, apabila saya menjenguk blog Dato Khir Toyo saya dapati jumlah komen sudah pun berjumlah 454. Komen saya yang menjadi isu dalam posting ini juga telah tersiar.
Saya yakin dengan jumlah komen yang begitu banyak dalam masa yang singkat, Dr Khir sememangnya terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyiarkan semuanya.
Dengan perkembangan ini, maka saya tidak lagi mempersoalkan keikhlasan Dr Khir berblog. Saya akan terus mengikuti dan menyertai komen blog beliau dari masa ke semasa.
Saya percaya dengan minat tinggi yang ditunjukkan kepada Cetusan Dr Khir Toyo, ia akan menjadi wadah yang amat berguna kepada Dr Khir untuk berinteraksi, menyelami dan memahami inspirasi mahu pun keluhan rakyat.
Posting asal
Dato Seri Khir Toyo memulakan blog peribadi beliau 28 Mac, 2008. Saya mempunyai jangkaan tinggi terhadap blog beliau, Cetusan Dr Khir Toyo, memandangkan kreditasi beliau yang begitu besar, sebagai ketua pembangkang negeri Selangor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga seorang doktor.
Sebaik saja mengetahui tentang blog berkenaan, saya terus ke sana dan meninggalkan komen untuk posting pertama Dr Khir. Ketika itu sudah agak ramai yang memberi komen. Ini menunjukkan blog Dr Khir cepat mendapat perhatian dan boleh jadi box office dalam masa yang singkat. Komen pertama saya juga disiarkan.
Pagi tadi saya menjenguk blog Dr Khir sekali lagi, beliau sudah menambah posting baru, posting kedua. Kata ketua pembangkang Selangor ini, beliau mohon pandangan. Berikut adalah posting penuh Dr Khir yang saya maksudkan.
———————————————–
Sunday, March 30, 2008
Mohon Cadangan Sahabat Bloggers
Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan bloggers sekelian. Saya telah membaca semua komen yang telah diberikan. Memanglah sebahagiannya melukakan hati saya tetapi saya tabah menerima pandangan tersebut. Saya juga menerima kata-kata galakan untuk terus berjuang menghadapi cabaran masa depan. Saya akan teruskan perjuangan ini selagi agama, bangsa dan negara saya belum mencapai tahap kemajuan seperti yang kita cita-citakan bersama.
Jatuh bangun dalam politik adalah perkara biasa. Saya telah melengkapkan sebuah kitaran hidup. Pengalaman dari seorang anak desa yang tidak punya apa-apa; kemudiannya memimpin negeri dan membuat sedikit jasa. Dan hari ini saya kembali seperti dulu. Pengalaman ini pasti akan mematangkan saya menjadi orang yang lebih berfikiran terbuka dan memahami kehendak rakyat.
Sekarang kita berada dalam keadaan tidak menentu (uncertainty). Menyalahkan atau menuding jari tidak memberi sebarang makna. Yang saya perlukan sekarang ialah cadangan-cadangan bagaimana untuk kita menggariskan haluan masa depan yang lebih konkrit untuk memastikan negara ini tidak terjerumus dalam kancah yang akan menghancurkan Wawasan 2020.
Pandangan sahabat-sahabat dan bloggers amat saya perlukan. Apa yang sebenarnya kita boleh lakukan dalam jangka waktu yang pendek dan jangka waktu yang panjang dalam menangani tuntutan-tuntutan semua kaum dalam negara kita? Saya mohon pandangan saudara-saudari.
Salam Dato’,
Pada saya, apa yang telah meruntuhkan UMNO dan dasar-dasar negara sekarang ini tidak lain adalah kepimpinan yang lemah. Jangan cuba nafikan perkara ini dan mengatakan kita tidak harus menuding jari pada sesiapa. Ini adalah fakta.
Apa guna kita lantik pemimpin kalau kita tak boleh komplen, beri pandangan atau berkata yang benar? Apa guna pemimpin kalau kita tak boleh tuntut kebertanggungjawapan? Apa guna amanah yang kita beri kalau kita tak boleh membuat penilaian sejauh mana amanah itu telah dijayakan?
Paklah telah mengheret negara kita ke arah yang bukan saja tidak pasti malah penuh bahaya. Tidak ada apa yang betul yang telah beliau buat untuk negara ini. Paklah lebih mementingkan agenda pihak lain, baik luar dan dalam negara dari agenda bangsa, rakyat dan negara ini. Hal ini amat jelas sehingga majoriti rakyat merasainya. Dato’ tidak nampakkah? Atau buat-buat tak nampak?
Pemimpin yang baik bukan saja mereka perlu bijak malah kena berani berkata benar biar apa pun keadaannya. Tidak ada seorang pemimpin agung dan hebat dalam sejarah manusia terdiri dari mereka yang hanya tahu mengipas, menjilat dan penakut.
Sehingga ketika ini (30 Mac, 2008, 6.54 pm), komen saya seperti yang di atas belum lagi tersiar. Kalau ia tidak disiarkan, saya terpaksa memandang Dr Khir sebagai seorang yang penakut. Dengan kata lain, kenyataan yang mengatakan beliau telah menjadi lebih matang dan berfikiran terbuka, langsung tidak membawa sebarang makna.
Apapun saya ucapkan selamat berjaya kepada Dr Khir dengan blognya. Saya tidak akan komen apa-apa lagi di blog Dr Khir sehingga saya pasti beliau bukan sekadar nampak ikhlas, tapi memang benar-benar ikhlas. Takut atau cuba berselindung bukanlah satu ciri sifat yang ikhlas.