Segera tangani kemungkinan wakil BN lompat parti, wahai Paklah!

Saya bersependapat dengan Dr Mahathir bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang ringan dakwaan Anwar Ibrahim bahawa pakatan mereka sedang berusaha menarik wakil-wakil rakyat BN supaya berpaling tadah. Jika mereka berjaya mendapatkan 30 wakil, Pakatan Rakyat akan mengambilalih kuasa dari kerajaan sedia ada.

Anwar memang terkenal sebagai seorang ahli politik yang amat agresif, manipulatif dan tidak pernah malu-malu untuk menggunakan wang bagi mencapai matlamatnya. Sejak kegagalan BN mempertahankan kedudukan majoriti dua pertiganya, dan kehilangan kuasa di 5 negeri kepada Pakatan Rakyat, rumour tentang bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah dipenjara kerana salahguna kuasa itu akan “membeli” wakil-wakil rakyat khususnya dari Sabah memang sudah menjadi bualan umum.

Faktor kesetiaan kepada kepimpinan politik Persekutuan yang rapuh, ditambah dengan ketidakpuasan hati kerana kegagalan Paklah memberi atau menawarkan kedudukan yang lebih bermakna kepada wakil-wakil mereka di dalam Kabinet Persekutuan, serta tawaran-tawaran hebat yang datang dari Anwar baik untuk negeri mahupun peribadi dikatakan akan membuatkan wakil-wakil Sabah tidak perlu berfikir panjang bagi mewajarkan mereka bertukar parti.

Semalam perihal usaha Anwar mahu “membeli” wakil-wakil Sabah didengar di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan misalnya menyebut, jumlah yang ditawarkan kepada beliau untuk melompat menyertai parti pembangkang sangat besar hingga cukup untuknya hidup senang-lenang selama tiga generasi.

Sementara itu Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee telah memberi kata dua kepada kepimpinan Barisan Nasional supaya mereka menyelesaikan isu-isu berkaitan Sabah menjelang bulan Ogos ini. Jika gagal katanya, SAPP tidak jamin wakil-wakilnya akan terus kekal bersama BN. SAPP diwakili 16 orang Ahli Parlimen. Walaupun menurut beliau setakat ini tiada wakil dari SAPP termasuk dalam kumpulan yang dikatakan mahu berpaling tadah, tetapi beliau mengakui bahawa tawaran-tawaran yang diberi kepada Negeri Di Bawah Bayu jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan memang sangat lumayan.

Menyedari wujudnya kemungkinan dan sentimen yang genting seperti ini, pucuk kepimpinan kerajaan BN khususnya Paklah tidak sepatutnya berlengah walaupun seminit. Keutamaan mesti diberi untuk mencari penyelesaian yang dapat memuaskan hati semua pihak bagi mengekang kemungkinan wakil-wakil BN berpaling tadah itu menjadi realiti. Persoalan moral bukanlah isu yang relevan jika memang terdapat kehendak atau keperluan yang tidak dapat dilunaskan. Siapa pun akan mencari alternatif lain yang dapat memberikan keputusan lebih baik.

Komen di sini

Isu Karpal: Kerajaan harus berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang

Isu Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan perlantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) masih lagi hangat. Pengerusi DAP itu, sama ada berniat atau tidak, sememangnya telah mengeluarkan kenyataan kontroversi berkenaan.

Di sebalik mengakui keterlanjuran atau memohon maaf, Karpal tetap menegakkan dan mengulang-ulang kenyataan beliau itu malah kini melebarkan pertikaian secara langsungnya dengan pihak istana Selangor pula.

Karpal Singh nampaknya tidak keseorangan dalam mempamerkan kebiadapan terhadap institusi Raja. Sebagai ahli politik veteran yang berpengaruh, Karpal mendapat sokongan terbuka dari banyak pihak khususnya dari kalangan parti pimpinannya sendiri dan Pakatan Rakyat amnya.

Nampaknya orang sudah tidak takut memperdebatkan kuasa atau kedudukan Raja-Raja Melayu. Mungkinkah Akta Hasutan tidak sejelas yang kita sangka selama ini?

Secara peribadi saya melihat kerajaan tidak boleh berlengah dan lembik dalam menangani soal kebiadapan terhadap institusi Raja. Tetapi kerajaan sendiri mungkin berada dalam keadaan tidak selesa, dan sukar untuk menunjukkan ketegasan terhadap Karpal kerana terperangkap dengan kegagalannya berbuat yang sama ketika ‘orang mereka sendiri’ melakukan perbuatan yang serupa.

Kita semua telah menyaksikan kebiadapan beberapa pemimpin UMNO dan penyokong mereka terhadap Sultan Terengganu dalam kemelut perlantikan Menteri Besar negeri itu sebelum ini. Malah Karpal sendiri telah menggunakan episod berkenaan untuk mewajarkan episodnya pula.

Kalau orang UMNO biadap terhadap Sultan lepas dari tindakan, mengapa beliau pula kena? Kenapa ada ‘double standard’? Begitulah hujah Karpal.

Di sini kita melihat peri pentingnya negara mempunyai seorang Perdana Menteri atau secara umumnya, kepimpinan yang tegas dan sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang biar apapun latar sesuatu isu atau peristiwa. Kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Timbangrasa, jika mahu diberikan, harus berdiri di atas prinsip dan rasional yang jelas dan tidak sesekali boleh membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasikannya di kemudian hari. Favoritisme atas dasar apa pun tidak sepatutnya berlaku.

Oleh itu, jika kerajaan perlu mendakwa semua pemimpin dan penyokong UMNO yang terlibat di dalam episod menghina dan biadap terhadap Sultan Terengganu sebelum mereka boleh berasa selesa untuk menghentikan kebiadapan Karpal Singh dan mengambil tindakan yang sama terhadap beliau, kerajaan kena lakukan.

Keadilan dalam menegakkan undang-undang harus dilaksanakan secara menyeluruh tanpa teragak-agak. Semua orang sedang melihat dengan teliti bagaimana kerajaan akan menyelesaikan isu Karpal ini. Ia bukanlah isu yang susah untuk diselesaikan. Tetapi di bawah kepimpinan Paklah, nasi yang sudah berada di dalam pinggan pun masih boleh menjadi bubur.

Komen di sini

Mana Melayu tatkala Paklah menggadai masa depan anak bangsa kita?

Sudah agak lama juga tidak update blog ini. Kepada Jiwa Saya, terima kasih kerana menjadi pengunjung yang setia.

Saya sebenarnya merasa bosan, kecewa, marah, benci dan apa-apa sajalah dengan perkembangan seharian yang sedang berlaku di negara kita. Tidak ada yang positif. Auranya begitu negatif; tikam menikam, tuduh menuduh, tepis menepis, nafi menafi, ampu mengampu, hasut menghasut, tipu menipu, spin menyepin, buruk memburuk. Tidak ada siapa yang datang menawarkan kelegaan. Semuanya hanya menambahkan garam ke luka saja.

Apa nak jadi dengan negara kita ni? Di tengah-tengah dunia yang sedang menghala ke arah pelbagai krisis akibat kekurangan bahan asas seperti minyak dan makanan, pemimpin negara kita hanya tahu berpolemik dan beretorik. Tidak ada masalah yang selesai di tangan mereka, bahkan masalah semakin bertambah setiap kali mereka mula campurtangan. Bagaimana nanti sekiranya segala krisis dunia ini meledak di luar kawalan, adakah kita semua akan dilelong begitu saja?

Mengapa orang Melayu masih tidak nampak peri pentingnya kita menukar kepimpinan negara, SEKARANG? Dan bukannya menunggu Pemilihan Agung UMNO atau Pilihanraya Umum akan datang. Mengapakah mereka tidak melihat bahawa Paklah bukan lagi masalah parti UMNO, tetapi merupakan ancaman kepada survival bangsa Melayu masa kini dan akan datang, secara keseluruhannya?

Sehingga hari ini berapa kerat saja Melayu yang berani bersuara menentang Paklah secara terbuka, menuntut supaya beliau meletakkan jawatan? Mana Melayu yang lain? Tidak endah? Tidak kisah? Tak pandai berpolitik? Mana Prowaris? Apa dah jadi Melayu semua?

Komen di sini

Kerajaan yang lemah tidak baik untuk Malaysia berbilang bangsa

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung chedet.com atas kata-kata manis di samping menyambut saya ke dunia blog. Secara ikhlas, saya sememangnya terkejut dengan sambutan hangat kepada webblog saya.

Kepada pengkritik dan penentang saya, saya mengalu-alukan komen anda tetapi saya menghargai jika maklumbalas difokuskan kepada isu yang saya tulis. Ini untuk mencipta debat yang sihat dan bagi mengukur perbezaan pandangan yang saya miliki.

Saya mohon maaf kerana jumlah pengunjung yang terlalu ramai, saya mungkin tidak mampu menjawab semua komen serta pertanyaan walaupun saya ingin sekali. Saya akan memilih dan menjawab apa yang dikemukakan berulang-kali oleh para komentar merujuk kepada apa yang telah saya siarkan.

Saya juga tidak akan membalas, kecuali benar-benar perlu, isu-isu yang pernah dikemukakan dan saya telah jawab di fourm-forum lain, khususnya yang melibatkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Berkenaan dengan posting pertama saya mengenai perlantikan hakim-hakim, kebanyakan komentar tidak setuju dengan komen saya bahawa apabila Kerajaan bekerjasama dengan pembangkang ia merupakan satu tanda kelemahan, dan di mana saya menganggap pembangkang sebagai musuh.

Secara politiknya, pembangkang adalah musuh. Bukanlah tidak demokratik apabila terpaksa bekerja dengan pembangkang tetapi ia menunjukkan kelemahan Kerajaan.

Kerajaan yang lemah tidak baik untuk Malaysia yang berbilang bangsa. Ia bakal mengundang cabaran yang tidak sepatutnya terhadap bidang kuasa yang dimiliki. Kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua orang. Jika Kerajaan tidak boleh bertegas dan terpaksa (membuat keputusan) berubah-ubah maka keyakinan akan pudar di mana ia tidak begitu elok untuk melaksanakan polisi-polisi atau projek dengan lancar. Sesetengah orang mungkin sudah perasan akan perkara ini.

Sesebuah Kerajaan yang tidak memerlukan sokongan pembangkang akan lebih mudah mengabaikan gangguan yang terpaksa dihadapi oleh mana-mana kerajaan. Walaubagaimanapun, ia harus meneliti pandangan dan maklumbalas pembangkang di mana yang perlu.

Dalam konteks hari ini, Kerajaan Persekutuan tidak mampu membuat sebarang inisiatif sendiri untuk menggubal Perlembagaan dan ia akan menjadi tebusan setiap kali (mahu melakukannya).

Salah satu perkara yang amat penting mengenai majoriti dua pertiga adalah ia susah untuk mendapat ancaman berpaling tadah. Hari ini kita mendengar tentang ancaman seperti ini setiap hari. Kepimpinan Barisan Nasional menjadi seperti kucing di atas batu-bata panas. Dan kucing-kucing di atas batu-bata panas tidak akan mencapai apa-apa.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah gagal mendapat majoriti dua per tiga. Sebagai ukuran kekuatan, sebuah kerajaan yang memiliki majoriti dua per tiga boleh membuat semua perkara sendiri dan bebas sepenuhnya.

Namun ada juga kemungkinan permintaan untuk mendapat sokongan pembangkang dibuat di atas dasar keikhlasan dan semangat demokrasi. Soalnya adalah mengapa sekarang? Mengapa tidak sewaktu Kerajaan memiliki 90% majoriti selepas Plihanraya Umum 2004? Perubahan mengenai bagaimana hakim-hakim dipilih sepatutnya boleh dilakukan selepas kemenangan besar 2004.

Saya selalu berpendapat bahawa negara ini perlu mempunyai kerajaan yang kuat dan bebas barulah ia boleh berkhidmat kepada rakyat dan tanahair tanpa takut dan memihak.

Tetapi saya juga diketahui sebagai seorang yang percaya kepada pembangkang yang kuat. Ini bagi memastikan Kerajaan tidak lari dari landasan yang betul, atau menyalahguna kuasa yang dimiliki.

Kombinasi sebuah Kerajaan yang kuat (majoriti dua per tiga) dan sebuah Pembangkang yang berkemampuan dan berkeinginan untuk memantau salahlaku Kerajaan adalah baik untuk Malaysia.

Mengenai cadangan terbaru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman, adakah kerana sekarang ia fikir itu suatu yang bagus atau adakah ia satu percubaan terdesak untuk memenangi semula sokongan yang hilang?

Mengenai kritikal saya terhadap kepimpinan Kerajaan hari ini, saya percaya saya mempunyai sepenuh hak untuk melakukannya. Bersara hanya bermaksud menyerahkan bidang kuasa dan kuasa. Ia tidak bermakna saya harus meninggalkan peranan saya sebagai warganegara. Saya mempunyai hak untuk merasa bimbang terhadap salah pentadbiran negara dan parti yang telah saya bantu hidupkan semula pada 1987.

Parti ini bukan milik Dato Seri Abdullah seorang. Bukan juga bermaksud untuk terus menyokongnya walaupun apabila beliau gagal mengurus pilihanraya dan negara ini. Parti ini juga bukan milik saya. Ia milik semua ahlinya. Buat masa ini, para ahli parti dilarang bersifat kritikal. Mereka hanya boleh kata ya kepada apa yang Abdullah kata atau buat.

Oleh kerana pembangkang juga menyokong Dato Seri Abdullah, jika saya tidak kritik, maka tidak akan ada (sesiapa yang akan melakukannya). Dan tanpa kritikan-kritikal Kerajaan Dato Seri Abdullah memang akan buat salah.

Sumber asal: Blog Tun Dr Mahathir | Terjemahan: Tempua

Komen di sini

Kerana ada monyet dan bigfoot di Parlimen, kerajaan batalkan siaran langsung

Update:-

Sekejab batal sekejab tak. Jadi, menurut laporan terakhir kabinet telah membuat keputusan untuk meneruskan siaran langsung sidang Dewan Rakyat sebagaimana yang dirancang atas dasar percubaan. Menurut kabinet adalah terlalu awal untuk menamatkan siaran langsung itu hanya berdasarkan satu insiden saja. Oleh itu mereka beri peluang untuk keadaan berubah.

Saya menulis posting asal ini semalam selepas mendengar berita mengenainya dari stesen Radio24 pada sebelah pagi.

Posting Asal:-

Pada peringkat awal, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagaikan mahu dirinya tercatat dalam sejarah sebagai Menteri Penerangan pertama yang bersikap terbuka dan telus melalui usaha menyiarkan sidang Dewan Rakyat secara langsung di TV1.

Bagaimanapun selepas siaran langsung pertamanya tidak berjalan seperti yang diharapkan, beliau terus mengumumkan untuk menilai semula rancangan siaran langsung berkenaan. Hari ini, kita semua tahu keputusannya, ia telah dibatalkan. Rakyat boleh melupakan impian untuk melihat prestasi ahli-ahli parlimen mereka beraksi di Parlimen.

Saya tidak berkesempatan menyaksikan siaran langsung sidang Dewan Rakyat yang bersejarah itu. Tetapi dari laporan-laporan berita ia dikatakan sangat memalukan kerana gelagat beberapa ahli Parlimen yang tidak beradab dan kebudakan-budakan. Kata orang, macam sarkas.

Saya tidak tahu orang lain, tapi bagi saya, saya memang tak pernah mengharap ahli-ahli parlimen akan bersidang dengan penuh tertib dan bertutur dengan kata-kata yang manis-manis serta berbunga-bunga. Satu dunia tahu bahawa sidang parlimen dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi boleh menjadi sangat hangat sehingga kadangkala menjadi medan pertelingkahan fizikal di antara ahli-ahlinya.

Bagi saya yang lebih penting adalah samada ahli-ahli parlimen ini mampu merealisasikan aspirasi rakyat yang memberi amanah kepada mereka. Jika dalam menunaikan amanah berkenaan mereka terpaksa menggigit kerusi atau lengan Yang Dipertua sekali pun, biarlah mereka melakukannya. Tetapi jika benar mereka tidak produktif, mengarut atau membuang masa, maka dalam Pilihanraya akan datang tahulah kita mengajar mereka.

Atas sebab itu saya fikir keputusan Ahmad Shabery Cheek atau kerajaan membatalkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat adalah satu langkah yang amat mengecewakan. Adakah ahli-ahli Parlimen akan bersidang dengan lebih baik jika tidak ada siaran langsung? Adakah ahli parlimen “monyet besar” dan “bigfoot” akan menjadi lebih sopan tanpa krew televisyen?

Bagaimana pula pendapat anda?

Ahmad Shabery Cheek minta maaf di sini.

Komen di sini

« Previous entries